SARAWAK RANCANG TUBUHKAN PUSAT PERUBAHAN IKLIM - ABANG JO

15/03/2023 02:57 PM

KUCHING, 15 Mac (Bernama) -- Sebuah pusat perubahan iklim dirancang untuk ditubuhkan di Sarawak bagi menyelia dan menguruskan isu berkaitan perubahan iklim dan perdagangan karbon di negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelan pelaksanaannya kini pada peringkat awal dan rangka kerja sedang rancangkan bagi penubuhan pusat itu. 

“Dengan penubuhan pusat itu, Sarawak boleh meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam perubahan iklim dan inisiatif perdagangan karbon di rantau ini, sekali gus menarik pelaburan dan bakat untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lestari.

“Pusat itu juga boleh menyokong pembangunan dasar dan peraturan yang menggalakkan amalan kelestarian termasuk tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam ucaptama semasa Persidangan Karbon Asia 2023 di sini, hari ini.

Persidangan tiga hari yang bermula semalam, bertujuan membincangkan perdagangan karbon dan menetapkan aras untuk pembuatan polisi, peluang pelaburan dan teknologi baharu dalam pasaran karbon.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak kini sedang membangunkan polisi perubahan iklim negeri, yang menyediakan rangka kerja komprehensif untuk menangani isu kritikal itu.

Beliau berkata polisi itu akan membimbing kesemua masyarakat di Sarawak ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan.

“Kami juga mengakui bahawa kehidupan bandar dan aktiviti ekonomi merupakan sumber utama pelepasan gas rumah hijau.

“Sebab itulah kami sedang membangunkan pelan tindakan rendah karbon untuk bandar dan pekan di Sarawak. Pelan tindakan ini akan membantu kami menangani cabaran alam sekitar tempatan seperti pengurusan sisa, banjir, dan pencemaran udara, sambil menggalakkan gaya hidup rendah karbon,” katanya.

-- BERNAMA