PEMBANGUNAN PESAT DI SAMARAHAN BUKTI KEJAYAAN KERJASAMA RAKYAT DAN KERAJAAN – TIMBALAN PREMIER SARAWAK

Tan Sri Abang Johari Tun Openg (right) and Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (left).
13/03/2023 07:29 PM

KOTA SAMARAHAN, 13 Mac (Bernama) -- Pembangunan pesat yang berlaku di Bahagian Samarahan menjadi bukti manfaat yang diperoleh rakyat yang terus bekerjasama dengan kerajaan untuk memudahkan pelaksanaan projek di kawasan mereka. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata bahagian itu yang hanya dapat dihubungi menerusi pengangkutan sungai sebelum tahun 1980-an kini sudah menikmati banyak kemajuan dari segi kemudahan infrastruktur dan taraf hidup rakyatnya. 

"Malah setelah ada kemajuan atau pembangunan, nilai tanah di kawasan kampung, luar bandar dan pedalaman akan menjadi lebih tinggi jika sudah banyak kemajuan dari segi kemudahan," katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Cek Pampasan bagi projek-projek di Bahagian Samarahan di sini hari ini.

Katanya pelaksanaan projek-projek pembangunan di Sarawak terutamanya di luar bandar serta pedalaman akan dipercepatkan jika rakyat terus bekerjasama dalam urusan melibatkan pampasan hartanah.

Menurutnya pemilik tanah tidak perlu khuatir kerana setiap pampasan yang diberikan adalah setimpal dengan nilai semasa.

Pada majlis itu, Awang Tengah menyerahkan sejumlah cek yang bernilai keseluruhannya lebih RM20 juta kepada 111 orang penerima pampasan yang melibatkan projek pembangunan jalan kampung, jalan pesisir serta skim pembesaran kampung.

-- BERNAMA