PEMILIK PERLU HADIR KETIKA PROSES UKUR TANAH NCR - TIMBALAN PREMIER SARAWAK

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
08/03/2023 06:04 PM

SIBU, 8 Mac (Bernama) -- Pemilik-pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diminta supaya bersama-sama kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) di lapangan ketika kerja-kerja pengukuran tanah mereka dilakukan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini bagi memastikan proses itu dapat dilakukan dengan cepat dan mengelakkan daripada pertindihan tuntutan tanah dalam kalangan mereka.

"Hadirlah ke lapangan apabila notis penyukatan tanah diberikan. Hanya pemilik-pemilik tanah saja yang tahu persempadanan tanah mereka," katanya.

Berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah, Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bahagian Sibu di sini hari ini, beliau berkata antara kekangan besar usaha penyukatan tanah NCR adalah ketidakhadiran pemilik tanah di lapangan ketika pengukuran dilakukan.

Ini menyebabkan kerja-kerja penyukatan tidak dapat dilakukan dan terbantut serta memberikan kesan terhadap pemilik tanah sendiri.

Mengenai pengambilan balik tanah bagi tujuan pembangunan, Awang Tengah berkata semua tanah akan dibayar pampasan sewajarnya mengikut penilaian dari JTS berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah terlibat mengikut nilai semasa.

“Bagi pemilik tanah yang mendapati pampasan dibayar tidak mencukupi, mereka boleh mengambil tindakan mahkamah. Namun berdasarkan kes-kes berlaku, mahkamah mendapati pampasan dibayar kerajaan melebihi nilai semasa tanah yang terlibat,” katanya.

Pada majlis itu Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menyampaikan cek pampasan kepada 386 pemilik tanah terlibat dengan projek Skim Pembesaran Kampung Banyok Sibu, Projek Talian Transmisi 132 KV Sungai Maaw/Sungai Merah dan Projek Naiktaraf Bekas Jalan Balak (Fasa IV) Bahagian Sibu keseluruhan berjumlah RM13,634,106.42

Daripada jumlah tersebut sebanyak 17 cek pampasan berjumlah RM2,032,939.10 disampaikan kepada 12 pemilik tanah terlibat dengan projek skim pembesaran Kampung Banyok manakala 361 pemilik tanah terlibat projek Talian Transmisi Sungai Maaw/Sungai Merah menerima cek berjumlah RM11,539,472.70.

Sebanyak 20 cek berjumlah RM61,694.62 disampaikan kepada 13 pemilik tanah terlibat dengan menaik taraf bekas jalan-jalan balak di Sarawak (Fasa IV) Bahagian Sibu.

Sementara itu, sebanyak 40 Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 NCR diserahkan kepada 40 penerima bagi Kawasan Ulu Sungai Salim Sibu dan Warta Native Communal Reserve Seksyen 6 kepada tiga penerima bagi kawasan Batu Burak, Igan, Sibu.

-- BERNAMA