SPICS: SARAWAK MAHU GUNA KELEBIHAN DI LAMAN SENDIRI

YB Karim Hamzah fb
23/02/2023 11:11 PM

KUCHING, 23 Feb (Bernama) -- Sarawak mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk melakar kejutan pada Kejohanan Silat Antarabangsa Premier Sarawak 2023 (SPICS) yang membuka tirai 27 Feb ini.

Rumpun Silat Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kejohanan edisi sulung itu akan berlangsung selama tujuh hari di Stadium Tertutup Kuching.

“Kejohanan edisi sulung itu bakal menghimpunkan 21 kontinjen dari dalam dan luar negara,” menurut kenyataan itu.

Antara negara yang menyertai SPICS 2023 adalah Kyrgystan, Uzbekistan, Singapura, Belanda, Vietnam, Filipina, Thailand dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam kenyataan sama berkata Sarawak sudah bersedia untuk menganjurkan kejuaraan berprestij tinggi melibatkan kontinjen dari luar negara.

“Kita telah berjaya menarik 11 buah negara untuk menyertai kejohanan kali ini. Ia memberikan isyarat jelas bahawa edisi sulung ini mendapat sambutan memberangsangkan.

“Malah, tinjauan persediaan dari segi logistik dan kemudahan fasiliti semuanya telah bersedia menerima kehadiran para pencinta silat dari seluruh dunia,” katanya.

Mengulas persiapan kem silat Sarawak, Abdul Karim berkata Sarawak diwakili 63 pesilat terdiri daripada dua pasukan bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan saingan ini untuk meraih pengalaman.

“Kita juga menghantar 63 jaguh pesilat dari Sarawak, kita ingin mengambil kelebihan bertarung di laman sendiri sekali gus menyuntik semangat mereka untuk berentap merebut kejuaraan.

“Selain daripada memberikan saingan sengit, pendedahan serta pengalaman yang bernilai akan mereka peroleh apabila menentang jaguh silat dunia,” katanya.

-- BERNAMA