52 PEMILIK PERNIAGAAN SINGAPURA TEROKA PELUANG DI KUCHING 

16/02/2023 12:48 PM

KUCHING, 16 Feb (Bernama) -- Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) akan membawa 52 pemilik perniagaan Singapura ke Kuching untuk pertukaran perniagaan dan budaya yang unik.

STATOS dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu akan diadakan dari 20 hingga 24 Feb ini bertujuan mempromosikan peluang perniagaan di Sarawak dan meningkatkan persefahaman budaya antara Singapura dengan Sarawak.

Menurutnya, pemilik perniagaan terlibat terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti industri makanan dan minuman (F&B), logistik dan pembungkusan.

Acara itu akan memberi peluang kepada peserta untuk meneroka perniagaan di Kuching, rangkaian dengan pemilik perniagaan lain dan mempelajari tentang landskap perniagaan di Sarawak, menurut STATOS.

“Kami telah merangka program yang menggabungkan aktiviti perniagaan dan kebudayaan untuk memberi peserta pengalaman menyeluruh mengenai Sarawak.

“Kami percaya acara ini akan menjadi platform terbaik untuk pemilik perniagaan meneroka potensi untuk pelaburan dan perkongsian di Sarawak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif STATOS Chew Chang Guan dalam kenyataan sama.

-- BERNAMA