PAPARAN LKM, LMM DIGITAL SELARI PERKEMBANGAN SEMASA - LEE

Datuk Seri Lee Kim Shin
10/02/2023 07:18 PM

KUCHING, 10 Feb (Bernama) -- Keputusan membenarkan paparan digital bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) bermula hari ini dilihat sebagai langkah selari dengan perkembangan semasa.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata pada masa ini rakyat Malaysia sudah mula mengadaptasi kehidupan berasaskan teknologi digital dan aplikasi mudah alih yang berasaskan perkhidmatan dalam talian.

“Kesesakan dan barisan panjang untuk mendapatkan perkhidmatan lesen di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menjadi isu hangat dalam kalangan rakyat kita sejak sekian lama.

“Melalui pendigitalan ini, kita percaya ia akan membolehkan kerajaan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat secara lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga berharap rakyat akan terus mematuhi peraturan dan undang-undang berkaitan dengan paparan LKM dan LMM itu.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bermula hari ini (10 Feb), pemilik kenderaan persendirian warganegara tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing, tetapi boleh menggunakan mod paparan digital iaitu Lesen Kenderaan Motor digital (e-LKM) dan LMM digital (e-LMM).

Loke berkata pelaksanaan e-LKM dan e-LMM itu ialah langkah digitalisasi dalam perkhidmatan teras JPJ fasa pertama.

Mod paparan e-LKM dan e-LMM itu boleh dimuat turun melalui portal awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau aplikasi mobile MyJPJ di bawah satu projek perintis secara in-house.

-- BERNAMA