PENIAGA PASAR TAMU SIBU JAYA JADI MANGSA TIPU GUNA WANG PALSU RM20

30/01/2023 06:40 PM

SIBU, 30 Jan (Bernama) -- Pasar Tamu Sibu Jaya kecoh hari ini apabila beberapa peniaga mendakwa menerima wang kertas RM20 palsu daripada individu tertentu yang membeli sayur daripada mereka.

Video kekecohan tersebut telah tular melalui aplikasi media sosial.

Difahamkan, wang palsu berkenaan digunakan wanita membawa seorang kanak-kanak ketika membeli sayur-sayuran daripada peniaga, kebanyakannya masyarakat Iban yang menjual sayuran hasil hutan.

Ketua Polis Sibu ACP Zulkipli Suhaili ketika dihubungi memberitahu pihaknya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian tersebut.

“Kita nasihatkan supaya peniaga-peniaga yang menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Zulkipli berkata sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik  IPD Sibu telah menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Maju pada 2.55 petang semalam kerana dipercayai mengedar dadah.

Hasil pemeriksaan, polis telah merampas 10 paket plastik berwarna putih bertulis ‘Juice Master’ berisi serbuk jus disyaki campuran dadah jenis ekstasi dengan berat kasar 314.93 gram (g).

Turut dirampas 17 paket plastik berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis ketamine seberat 20.66g dan 13 biji pil pelbagai warna berlogo ‘Crown’ dan ‘C’ disyaki dadah jenis ekstasi dengan berat kasar 4.87g.

“Anggaran jumlah berat kasar keseluruhan rampasan adalah 340.46g dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM19,495,” katanya.

Beliau berkata suspek yang positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine didapati mempunyai lima kes lampau berkaitan dadah.

Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Sekysen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA