KAWASAN KOTEJ HASIL PRODUK MAKANAN HALAL DIWUJUDKAN DI DUN NANGKA

Sarawak Deputy Education, Innovation and Talent Development Minister Datuk Dr Annuar Rapaee (right)
29/01/2023 04:09 PM

SIBU, 29 Jan (Bernama) -- Sebuah kawasan menempatkan pengusaha kotej yang menghasilkan produk makanan halal akan diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bagi memudahkan mereka memperoleh sijil serta logo halal daripada pihak berkaitan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata beliau juga telah mengenal pasti tapak yang sesuai untuk tujuan berkenaan.

Menurutnya, cadangan untuk membuka kawasan itu telah dikemukakan kepada pihak Perbadanan Pembangunan Eknonomi Sarawak (SEDC) tiga hari lepas dan berharap tindakan susulan boleh dipercepat.

“Buat masa ini, kita memang memerlukan kawasan kotej ini. Buat permulaan kita cadang kira-kira 16 unit premis yang bahagian belakangnya menjadi tempat pengeluaran manakala bahagian depan lokasi menjual,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu acara di sini, hari ini.

Dr Annuar yang juga ahli DUN Nangka berkata dengan adanya premis itu nanti akan memudahkan para pengusaha mengemukakan permohonan bagi mendapatkan sijil dan logo halal produk keluaran mereka kepada pihak berwajib untuk kelulusan.

Pada masa sama katanya, ia juga akan memudahkan pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Jabatan Kesihatan membuat semakan dan pemeriksaan premis daripada pelbagai aspek terutama dari segi kesesuaian serta kebersihan.

Beliau berkata peraturan menetapkan bahawa mana-mana usahawan yang menghasilkan produk makanan di rumah tidak layak untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan sijil dan logo halal.

Perkara ini mengakibatkan produk mereka tidak dapat dijual di pasar raya di bandar ini.

“Pada masa sekarang kebanyakan pengusaha di kawasan DUN Nangka menghasilkan produk di kediaman masing-masing dan secara kecil-kecilan dan kemudian menjualnya di gerai-gerai tepi jalan di hadapan rumah yang hasil jualan dan pendapatan tidak dapat ditingkatkan,” katanya.

-- BERNAMA