KERAJAAN SARAWAK MAHU GRADUAN IPT YANG DAPAT PENUHI KEPERLUAN INDUSTRI

Datuk Roland Sagah Wee Inn
17/01/2023 09:35 PM

KUCHING, 17 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sarawak mahu graduan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri itu memiliki kelayakan dan kemahiran yang diperlukan oleh pihak industri, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata walaupun institusi itu dijangka mampu melahirkan lebih 10,000 graduan di peringkat ijazah dan diploma pada tahun ini, cabaran utamanya ialah kesesuaian mereka untuk merebut peluang pekerjaan yang disediakan oleh industri-industri yang ada.

“Kita tidak mahu mereka (graduan Sarawak) menjadi operator sahaja, kita mahu mereka menjadi juruteknik dalam industri, yang memerlukan mereka yang layak dan mampu untuk menjalankan kerja ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kaunseling Pendidikan INTI di sini hari ini.

Roland berkata berdasarkan data pembangunan industri semasa di Sarawak, kebanyakan peluang pekerjaan yang diwujudkan merupakan yang berbentuk teknikal dan ini membawa kepada kerajaan negeri untuk menggalakkan generasi pelajar untuk mengambil jurusan teknikal, dalam pengajian mereka.

“Cabaran ini ialah untuk kita melahirkan jumlah tenaga mahir yang mencukupi. Itulah sebabnya kita menggalakkan anak-anak kita mengambil jurusan teknikal dalam pengajian mereka. Kita perlu berubah mengikut peredaran masa,” tambahnya.

-- BERNAMA