SARAWAK KAJI PENUBUHAN DANA PENCEN BUAT PENJAWAT AWAM NEGERI - ABANG JO

12/01/2023 03:35 PM

KUCHING, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sarawak sedang mengkaji penubuhan dana pencen buat anggota perkhidmatan awam negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu masih dalam perbincangan dan memerlukan masa untuk dimuktamadkan.

Katanya penubuhan dana itu juga harus mengambil kira situasi kewangan kerajaan negeri Sarawak.

“Saya belum boleh umumkan, jika kekuatan (kewangan negeri) dah ada saya umumkan. Sekarang ini masih dalam peringkat perbincangan dan kami juga melihat keadaan masa depan negeri.

“Kami telah tubuhkan dana kekayaan berdaulat sendiri dan pendapatan Sarawak dijangka akan meningkat. Sekiranya kewangan kami kukuh, kami boleh lakukan apa sahaja tetapi ia mestilah berhemah,” katanya semasa berucap pada majlis Amanat Perdana Yang Amat Berhormat Premier Sarawak 2023 di sini, hari ini.

Pada 22 Nov lepas, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan Rang Undang-undang Dana Kekayaan Berdaulat 2022 dengan peruntukan awal sebanyak RM8 bilion daripada kerajaan negeri.

Dana itu akan diuruskan secara profesional dan telus oleh Lembaga Penjaga yang terdiri daripada pakar dan profesional dalam bidang kewangan dan pelaburan.

Sementara itu, Abang Johari menzahirkan rasa terima kasih buat penjawat awam negeri yang sering memberi kerjasama baik dalam menjayakan agenda kerajaan negeri.

Katanya beliau juga mempunyai sasaran agar agensi-agensi di bawah kerajaan negeri menjadi lebih berdikari dan tidak lagi bergantung pada kerajaan terutamanya dari sudut pendapatan mereka.

“Kita tahu sekarang ini Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sudah boleh berdikari (dari sudut kewangan). Dengan penjimatan itu kerajaan negeri boleh melakukan perkara lain terutama untuk kebajikan rakyat,” katanya. 

 -- BERNAMA