SARAWAK JANA RESIT PELANCONGAN BERNILAI RM3.87 BLN UNTUK TEMPOH JAN-NOV 2022

23/12/2022 11:00 AM

KUCHING, 23 Dis (Bernama) -- Sarawak mencatatkan RM3.87 bilion bagi resit pelancongan dalam tempoh Januari hingga November tahun ini, berbanding RM537.17 juta tahun lepas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Salleh Askor.

Beliau berkata ini menunjukkan bahawa pelancongan Sarawak akan melalui tahap pemulihan yang sihat tahun depan.

“Kami juga melepasi sasaran 1.2 juta pelawat untuk 2022 dan dari Januari hingga November tahun ini, kami merekodkan lebih 1.6 juta ketibaan pelawat ke Sarawak, peningkatan lebih 900 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam ucapan di majlis Malam Media STB, malam tadi.

Sharzede berkata Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2023 akan diadakan dari 23-25 Jun tahun depan dan dianjurkan sepenuhnya secara fizikal.

Sementara itu, beliau berkata STB juga sedang berusaha keras untuk meletakkan Sarawak sebagai destinasi ekopelancongan terkemuka dunia sambil bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan pelancongan bagi melibatkan mereka dalam amalan bertanggungjawab.

“Ini selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 negeri dan Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga 2021-2035.

"Kami juga giat memperjuangkan inisiatif Pelancongan Berasaskan Komuniti dengan melibatkan diri dengan rumah panjang berlesen dan berdaftar di kawasan luar bandar," katanya.

Sharzede menambah memandangkan tarikan air terjun Sarawak semakin menjadi tumpuan pelancongan, STB bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk membangunkan tempat pelancongan yang lebih mudah diakses dan mesra keluarga.

-- BERNAMA