SARAWAK CATAT 1.6 JUTA PENGUNJUNG SEJAK JAN-NOV TAHUN INI

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah
09/12/2022 03:37 PM

KUCHING, 9 Dis (Bernama) -- Seramai 1,603,463 orang pengunjung dicatatkan memasuki Sarawak sejak Januari hingga November tahun ini melepasi sasaran 1.2 juta orang yang ditetapkan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bagi 2022.

Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejayaan itu hasil kerjasama kerajaan Sarawak dan pemain industri pelancongan sepanjang tahun ini selepas industri berkenaan terkesan selama dua tahun berikutan pandemik COVID-19.

"Kalau sampai Disember (akhir Disember) ini saya percaya kita akan dapat lebih 1.8 juta. Ini bermakna kita akan melepasi sasaran 1.2 juta dan dengan lebih 600,000 pengunjung,” katanya pada sidang media bagi mempromosi Sambutan Tahun Baharu 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Sarawak telah melaksanakan strategi pemulihan industri itu dengan berkesan berdasarkan maklum balas yang diperoleh daripada pemain industri dan berharap sektor pelancongan negeri akan terus berkembang pada tahun depan.

“Kita dapat mengurus negeri kita dengan begitu baik. Industri pelancongan dan perhotelan agak gembira. Beberapa tahun kita berada dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan dan kita sangat berharap tahun baharu nanti menjadi tahun yang baik untuk kita,” katanya. 

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata Jambatan Darul Hana di Tebingan Kuching yang menjadi satu daripada ikon pelancongan di bandar raya ini akan ditutup mulai 28 Dis bagi persiapan acara Sambutan Tahun Baharu 2023 pada 31 Dis.

"Jambatan tersebut akan digunakan sebagai tapak untuk melancarkan bunga api, jadi saya memohon maaf kepada pengunjung yang mahu berjalan atas jambatan ini, ia akan dibuka semula pada 1 Jan 2023,” katanya.

Dengan tema ‘Let’s Celebrate Together’, sambutan berkenaan akan diserikan dengan persembahan hiburan termasuk penghibur terkenal tanah air, Datuk Awie dan Datuk Aishah selain kumpulan hip hop Zeppo Youngsterz yang pernah memenangi anugerah antarabangsa.

Beliau berkata kemuncak sambutan yang dijadual dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan barisan Kabinet negeri adalah kiraan detik tahun baharu dan persembahan bunga api berkomputer.

 -- BERNAMA