SARAWAK CADANG PERUNTUK RM10 JUTA BAGI PEJABAT PERDAGANGAN DAN PELANCONGAN LUAR

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
21/11/2022 04:18 PM

KUCHING, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak bercadang untuk memperuntukkam sejumlah RM10 juta kepada Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), serta penubuhan pejabat yang sama di Brunei dan Pontianak di Indonesia pada tahun depan.

Semasa mengumumkannya hari ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penubuhan pejabat ini merupakan antara inisiatif yang berada di bawah teras strategik Bajet Negeri 2023 untuk mentransformasikan Sarawak menjadi sebuah ekonomi yang kompetitif. 

“Di peringkat antarabangsa, kerajaan negeri juga berusaha untuk menarik pelaburan dan pelancong asing menerusi penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Luar,” katanya semasa membentangkan belanjawan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.  

Beliau berkata di bawah belanjawan ini, sejumlah RM7 juta akan diperuntukkan kepada InvestSarawak, pusat maklumat pelaburan sehenti untuk mempromosikan Sarawak di peringkat global bagi menarik pelaburan langsung asing. 

“Kerajaan negeri terus komited untuk mewujudkan iklim yang ideal bagi pelaburan menerusi dasar dan inisiatif menarik untuk meningkatkan keyakinan bagi pelabur tempatan dan juga asing,” katanya. 

Abang Johari berkata belanjawan juga akan memperuntukkan sebanyak RM18 bagi Dana Bantuan Khas, Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Tourism Fund (PTF) dan RM14 juta bagi Skim Pinjaman Industri Kredit Mikro dan Industri Kecil dan Sederhana Sarawak. 

Sebanyak RM7 juta lagi akan diperuntukkan di bawah program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal & Vokasional (USTEV) dan Transformasi Usahawan Desa Sarawak untuk membantu para graduan, lepasan sekolah dan usahawan luar bandar dengan kemahiran teknikal untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka. 

Beliau berkata sebanyak RM5 juta akan disuntik tahun depan ke dalam Program Digital Sarawak Go untuk membangunkan PKS celik digital di negeri ini dan membantu mereka memasarkan produk dan perkhidmatan mereka menerusi e-dagang.  

-- BERNAMA