GPS LANCAR MANIFESTO “MENJAMIN SARAWAK STABIL, MAJU, MAKMUR” UNTUK PRU15

06/11/2022 10:46 PM

KUCHING, 6 Nov (Bernama) -- Gabungan Parti Sarawak (GPS) melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bertemakan “Menjamin Sarawak Stabil, Maju, Makmur”, di sini malam ini. 

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan dokumen yang menjadi hala tuju GPS dalam mengharungi PRU15 ini berdasarkan lima tonggak utama.

Tonggak utama pertama ialah politik, sosial, ekonomi dan kewangan yang stabil dan mampan diterajui kepimpinan yang mengutamakan masa depan Sarawak, sementara menitikberatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan bandar dan luar bandar menjadi tonggak kedua.

Manifesto ini turut meletakkan transformasi ekonomi dan pelbagai sumber kewangan yang mampu mempertingkatkan pendapatan bagi memacu pembangunan Sarawak sebagai tonggak ketiga, dengan latihan modal insan dan keadilan sosial serta agama menjadi tonggak keempat.

Tadbir urus cekap, berintegriti dan berprestasi tinggi sebagai pemangkin kemajuan Sarawak menjadi tonggak kelima manifesto ini yang turut menggariskan 25 teras dan 215 komitmen untuk membawa Sarawak maju menjelang 2030.Dalam ucapan pelancarannya, Abang Johari berkata manifesto GPS untuk PRU15 bersifat menyeluruh dan inklusif dengan berpaksikan kepada kepentingan rakyat  dan mengutamakan masa depan negara.

“Apabila kita berjanji, kita (akan mengotakan) janji. Kami dalam GPS menyifatkan manifesto ini sebagai aku janji kami kepada rakyat walaupun ada pihak mengatakan ia bukanlah ‘bible’ (kitab suci). Manifesto GPS bukan janji kosong,” katanya.

Menurutnya biarpun menghadapi pelbagai ketidaktentuan sepanjang tempoh hampir lima tahun lepas, termasuk hampir dua tahun disisihkan Kerajaan Pakatan Harapan, GPS masih mampu menerajui Sarawak sehingga membolehkan negeri ini kini dapat menjana pendapatan melebihi RM10 bilion.

GPS menggabungkan empat parti tempatan Sarawak terdiri dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) 

PRU15 menjadi medan pertama untuk gabungan ini bertanding di peringkat pilihan raya Parlimen sejak ditubuhkan pada Jun 2018 setelah PBB, SUPP, PRS dan PDP sepakat untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Dalam sidang media selepas majlis itu, Abang Johari berkata GPS memerlukan Kerajaan Persekutuan yang stabil meskipun gabungan itu telah membuktikan ia mampu bergerak sendiri, lebih-lebih lagi dalam berdepan situasi ekonomi yang dijangka tidak menentu pada 2023 dan 2024.

Katanya dengan pembentukan kerajaan sedemikian, dasar dan polisi yang berkesan boleh diwujudkan bagi menangani kemungkinan kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku dalam tempoh dua tahun berkenaan.

“Sejak empat tahun lepas, kita (GPS) telah berjaya menguatkan kedudukan kewangan kita dan kita melaksanakan projek yang telah dirancang.

Apa yang kita mahukan kini ialah berkolaborasi dengan Kerajaan Persekutuan. Kita perlu beri fokus untuk bangunkan rakyat,” katanya. 

-- BERNAMA