UP-DLPS 6: 70.14 PERATUS MURID SARAWAK LULUS SEMUA MATA PELAJARAN
KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Sebanyak 70.14 peratus murid sekolah rendah di Sarawak berjaya lulus dalam ketiga-tiga mata pelajaran Ujian Penilaian Program Dwibahasa Sarawak (UP-DLPS 6) 2026, meningkat 11.18 mata peratusan berbanding tahun lepas.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata penilaian bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik itu melibatkan 29,126 murid dari 1,045 sekolah rendah di seluruh negeri, dengan keputusan keseluruhan menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
"Ini merupakan tahun kedua penilaian dilaksanakan. Purata markah bagi ketiga-tiga mata pelajaran meningkat daripada 41.20 peratus pada 2025 kepada 44.97 peratus tahun ini," katanya pada sidang media mengenai keputusan UP-DLPS 6 2026 di sini hari ini.
Mengenai prestasi mengikut mata pelajaran, Sagah berkata Sains mencatatkan kadar kelulusan 93.19 peratus dengan kadar kehadiran 99.38 peratus, manakala Matematik merekodkan kadar kelulusan 74.76 peratus dan kehadiran 99.45 peratus.
Sementara itu, Bahasa Inggeris mencatatkan kadar kelulusan 85.34 peratus dengan kehadiran 99.45 peratus, selain lebih 37 peratus murid berjaya memperoleh Gred C dan ke atas bagi kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains.
Sagah berkata pencapaian berkenaan turut menyaksikan peningkatan hampir empat kali ganda jumlah murid yang memperoleh keputusan cemerlang, dengan 683 murid meraih Gred A dalam ketiga-tiga mata pelajaran berbanding 176 murid tahun lepas.
"Kesemua 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mencatatkan peningkatan prestasi keseluruhan, manakala lebih 70 peratus sekolah turut menunjukkan peningkatan.
"Lebih membanggakan, Kapit, Song dan Subis yang merupakan antara daerah terlibat dalam program intervensi perintis DLP mencatatkan tiga peningkatan tertinggi," katanya.
Mengenai pelaksanaan Sistem Pemarkahan Dalam Talian buat julung kalinya, beliau berkata sistem itu membolehkan pendidik menganalisis konsep pembelajaran tertentu serta mengenal pasti kesukaran dihadapi murid berdasarkan setiap soalan, sekali gus membantu merangka strategi pengajaran yang lebih berfokus.
Di sebalik pencapaian positif itu, Sagah mengakui masih terdapat aspek yang memerlukan perhatian khusus, termasuk penurunan 3.23 mata peratusan dalam purata markah Bahasa Inggeris, meskipun mata pelajaran berkenaan kekal menunjukkan prestasi baik dengan 49.31 peratus murid memperoleh Gred C dan ke atas.
Beliau berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) bagi menangani jurang pencapaian, khususnya membabitkan sekolah dalam kategori Luar Bandar dan Pedalaman 1 (P1).
-- BERNAMA
