RM204 JUTA BAGI ATASI KESESAKAN TRAFIK DI BATU KAWA - ABANG JOHARI
KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan RM204 juta bagi melaksanakan projek pembinaan jalan raya di Batu Kawa, bagi mengurangkan kesesakan trafik susulan pertambahan kawasan perumahan di kawasan itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek berkenaan, merangkumi pembinaan jalan baharu menghubungkan Batu Kawa ke Stapok, sebelum bersambung ke Lebuhraya Pan Borneo menerusi Jalan Moyan.
“Projek itu turut melibatkan pelebaran Jalan Matang kepada empat lorong, bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik, sekali gus mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan.
“RM204 juta adalah daripada peruntukan negeri, untuk kita menyelaraskan aliran trafik yang ada di Batu Kawa, kerana terdapat pertambahan kawasan perumahan menyebabkan jalan agak sesak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.
Abang Johari berkata pembangunan rangkaian jalan raya itu merupakan sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri, untuk memperkukuh hubungan antara kawasan pinggir bandar dengan bandar raya Kuching.
Beliau berkata Batu Kawa merupakan antara kawasan subbandar yang sedang dibangunkan dan dihubungkan dengan Kuching, termasuk juga kawasan Petra Jaya dan Samarahan.
-- BERNAMA
