KERAJAAN SARAWAK RANCANG BINA RUMAH DI SEBAUH, TATAU BAGI PEKERJA BINTULU

Credit: Sarawak JKR
09/11/2026 03:55 PM

BINTULU, 9 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak merancang membangunkan kawasan perumahan di Sebauh dan Tatau sebagai alternatif kediaman kepada pekerja di Bintulu susulan peningkatan harga serta kadar sewa rumah di bandar perindustrian itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perancangan itu akan diselaraskan menerusi pelan induk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi memastikan kawasan sekitar turut menerima limpahan ekonomi daripada pertumbuhan pesat Bintulu.

“Apabila Bintulu membangun, ia membawa kepada kawasan sampingan, apa salah kita merancang perumahan, projek perumahan dan kawasan persisiran,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jambatan Batang Kemena di Sebauh di sini hari ini.

Abang Johari berkata pembangunan kawasan kediaman di Sebauh berpotensi memberikan pilihan kepada mereka yang bekerja di Bintulu untuk menetap di luar pusat bandar dengan kemudahan perhubungan lebih baik.

Dalam pada itu, beliau berkata pembinaan Jambatan Batang Kemena antara projek strategik bagi memperkukuh jaringan jalan raya dan menyokong pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan.

Jambatan dua lorong bernilai kira-kira RM123 juta itu menyediakan laluan alternatif lebih singkat dari Lapangan Terbang Bintulu ke Pekan Sebauh.

Jambatan sepanjang 728.56 meter itu memberikan manfaat kepada kira-kira 32,000 penduduk selepas dibuka pada 6 Dis 2025.

-- BERNAMA