MAXIS PACU PERTUMBUHAN USAHAWAN SARAWAK MENERUSI PENINGKATAN KEMAHIRAN AI, PEMASARAN DIGITAL
KUCHING, 30 Okt (Bernama) -- Maxis Bhd (Maxis) terus memperkukuh usaha memperkasakan usahawan tempatan di Sarawak menerusi Program Pemecutan eKelas Usahawan yang menyaksikan 44 usahawan menamatkan latihan intensif tiga bulan bagi meningkatkan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan pemasaran digital.
Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan kohort keempat program itu melibatkan usahawan dari kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Sarawak yang menjalankan perniagaan dalam pelbagai sektor termasuk makanan, kecantikan, fesyen, pembinaan dan pertanian.
“Menerusi pendekatan bimbingan secara hibrid, peserta didedahkan kepada penggunaan teknologi AI untuk menghasilkan bahan penulisan dan kandungan promosi, mengurus kempen pemasaran digital serta memperkukuh kehadiran perniagaan dalam talian bagi meluaskan capaian pelanggan.
“Mereka turut diberi pendedahan mengenai penggunaan analitik digital untuk memahami tingkah laku pelanggan dan mengukur keberkesanan strategi pemasaran, sekali gus membantu membuat keputusan perniagaan yang lebih berkesan,” menurut kenyataan itu.
Maxis memaklumkan hasil pelaksanaan latihan dan bimbingan praktikal itu, peserta berjaya mengaplikasikan kemahiran digital bagi memperluas pasaran menerusi platform dalam talian dan media sosial, dengan kohort tersebut merekodkan peningkatan purata hasil perniagaan sebanyak 20 peratus.
Bagi memastikan momentum pertumbuhan berterusan, Maxis memaklumkan graduan program turut berpeluang mendapatkan sokongan dan bimbingan susulan menerusi rangkaian alumni eKelas Usahawan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata perkembangan program itu mencerminkan kepentingan melengkapkan usahawan dengan kemahiran digital bagi membolehkan mereka menyesuaikan perniagaan dengan landskap ekonomi yang semakin berkembang.
“Maxis berbangga dengan impak yang dicapai di Sarawak dan berharap dapat memperluas peluang seperti itu kepada lebih banyak komuniti bagi menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pemerkasaan digital,” katanya.
Azizul berkata antara peserta mencatatkan pencapaian memberangsangkan ialah Sariah Jeman dari Azfar Tailor yang berjaya menggandakan hasil perniagaan bulanan daripada RM3,705 kepada RM7,589 selepas mengaplikasikan kemahiran diperoleh sepanjang program.
Dalam pada itu, Sariah berkata penggunaan AI untuk merancang kandungan promosi serta alat digital bagi menguruskan pesanan membantunya menarik pelanggan baharu dan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan.
Sariah berkata peningkatan pendapatan itu membantu memperkukuh kewangan keluarganya selain membolehkannya merancang untuk menaik taraf peralatan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Seorang lagi peserta, Heni Lim dari ING Collection Shopee berjaya memperluas pasaran perniagaannya dengan beralih daripada operasi kedai fizikal kepada platform dalam talian.
Heni berkata kemahiran menghasilkan kandungan menggunakan AI dan pemasaran digital meningkatkan keyakinan untuk mengembangkan perniagaan menerusi e-dagang yang membolehkannya menerima pesanan pelanggan dari negeri lain.
“Penggunaan platform digital turut memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat produk dan membuat pembelian tanpa perlu mengunjungi premis perniagaan,” katanya.
Program Pemecutan eKelas Usahawan itu sebahagian daripada inisiatif Maxis eKelas Usahawan yang memberikan tumpuan kepada pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia melalui penerapan teknologi digital.
Sejak Disember 2024, program itu telah melatih 200 usahawan termasuk 96 peserta di Malaysia Timur menerusi kohort di Sabah dan Sarawak.
Inisiatif itu turut melengkapi kerjasama lebih meluas Maxis eKelas Usahawan bersama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan menerusi penggunaan teknologi digital.
-- BERNAMA
