PERUNTUKAN RM7.4 BILION BAGI 46 PROJEK AIR DI SARAWAK – FADILLAH

24/10/2026 02:48 PM

SIBU, 24 Okt (Bernama) -- Sebanyak 46 projek berkaitan air membabitkan peruntukan keseluruhan RM7.4 bilion akan dilaksanakan di Sarawak menerusi Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), bagi memperkukuh keterjaminan sumber air serta mengurangkan risiko bencana.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek itu merangkumi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu, dengan RM5.8 bilion daripadanya melibatkan pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata projek JPS itu antaranya meliputi tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pemuliharaan hakisan pantai.

“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memperkukuh keterjaminan sumber air, mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2 di sini hari in.

Hadir sama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Fadillah berkata kementeriannya melalui JPS turut melaksanakan Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Lembangan Batang Rajang, yang dijangka siap pada Ogos 2027.

Lembangan itu merupakan satu daripada sembilan lembangan sungai di Sarawak yang terlibat dalam pelaksanaan kajian IRBM.

Beliau berkata hasil kajian berkenaan diharap menyediakan pelan tindakan bagi membantu kerajaan Sarawak mengurus sungai secara lebih bersepadu, sistematik dan berterusan.

Katanya, usaha itu penting bagi memelihara sumber air, mengurangkan risiko banjir serta memastikan pembangunan mengambil kira kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.

“Kejayaan projek dan perancangan berkenaan memerlukan kerjasama erat kerajaan Sarawak, agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan serta masyarakat,” katanya. 

Fadillah turut menyeru komuniti, industri, badan bukan kerajaan dan generasi muda memainkan peranan menjaga sungai, termasuk mengelakkan pembuangan sampah serta melaporkan pencemaran.

-- BERNAMA