PENGGUNA PENGANGKUTAN SUNGAI DI SARAWAK DINASIHAT RANCANG PERJALANAN, BERWASPADA
SIBU, 30 Ogos (Bernama) -- Pengguna pengangkutan sungai di Sarawak dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan baik serta meningkatkan kewaspadaan susulan keadaan kemarau dan jerebu ketika ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Dr Safiee Ahmad berkata keadaan kemarau menyebabkan paras air sungai menyusut dan laluan pelayaran menjadi semakin cetek serta sempit manakala jerebu pula mengehadkan jarak penglihatan.
“Keadaan menjadi lebih mencabar apabila jerebu menyebabkan jarak penglihatan terhad, lebih-lebih lagi pada waktu malam. Saya menasihatkan semua pengguna pengangkutan sungai supaya merancang perjalanan sebaik mungkin dan jika boleh, elakkan perjalanan pada waktu malam.
“Selain itu, kurangkan kelajuan bot atau kapal masing-masing kerana jarak penglihatan terjejas akibat jerebu, selain paras air sungai yang menyusut berikutan kemarau dan ketiadaan hujan di kawasan hulu. Langkah ini penting bagi mengelakkan bahaya kepada pengguna sungai yang lain,” katanya kepada Bernama hari ini.
Dr Safiee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro berkata LSS sentiasa menjalankan pemantauan dan pengawasan terhadap keadaan sungai, termasuk melaksanakan penguatkuasaan menerusi bahagian penguatkuasaan di pejabat LSS wilayah di seluruh Sarawak.
Beliau berkata pengguna pengangkutan sungai juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai paras air sungai serta khidmat nasihat daripada pejabat LSS wilayah sebagai panduan dalam merancang perjalanan yang selamat.
Tinjauan Bernama petang semalam dan hari ini mendapati jerebu tebal menyelubungi Sungai Rajang, sungai terpanjang di Malaysia serta Sungai Igan susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang mencecah paras tidak sihat.
-- BERNAMA
