WARGA MEDIA DIGALAK TURUN PADANG AGIH JALUR GEMILANG - JAPEN SARAWAK

Credit: Sarawak JAPEN
14/08/2026 04:30 PM

KUCHING, 14 Ogos (Bernama) -- Warga media digalakkan mengambil inisiatif sendiri untuk mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai sebagai antara usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan tahun ini, selaras dengan kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG). 

Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak Sabri Said berkata selain menghasilkan bahan berita atau penulisan mengangkat semangat cinta akan negara, langkah turun padang sedemikian juga mengukuhkan peranan media dalam membentuk jati diri rakyat. 

“Ini merupakan satu kaedah dan tarikan untuk masyarakat lebih peka untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Ia memberi lebih makna dan nilai tambah kepada kempen 1R1JG.

“Contohnya, syarikat-syarikat media yang sudah dikenali masyarakat seperti Bernama, Suara Sarawak mahupun TVS boleh turun ke lapangan dan berikan bendera Malaysia kepada orang ramai mengikut kemampuan masing-masing,” katanya ketika ditemui di Program Singgah Media bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2026 di pejabat Bernama Sarawak, hari ini.

Beliau berkata keterlibatan pihak media dalam inisiatif berkenaan akan memastikan mesej patriotisme dapat disampaikan secara meluas kepada seluruh masyarakat. 

Terdahulu, rombongan JAPEN Sarawak diketuai Sabri turut melawat pejabat TV Alhijrah, Astro Awani Borneo, Suara Sarawak dan Sarawak Tribune bagi penyerahan kit Jalur Gemilang sebagai kerjasama strategik dengan organisasi media untuk turut melaksanakan 1R1JG.

Kempen 1R1JG digerakkan susulan majlis peluncuran kempen pada 19 Julai lepas dan susulan itu, JAPEN Sarawak mempergiat pelbagai aktiviti di lapangan menerusi 33 pejabat JAPEN di seluruh daerah serta memanfaatkan platform media sosial. 

-- BERNAMA