JEREBU: AKTIVITI HARIAN PENDUDUK SERIAN BERJALAN SEPERTI BIASA
SERIAN, 13 Ogos (Bernama) -- Aktiviti harian penduduk di sini masih berjalan seperti biasa walaupun kawasan Serian mengalami jerebu dengan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), kawasan Serian mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 178 setakat pukul 4 petang ini, sekali gus berada dalam kategori tidak sihat berikutan jerebu rentas sempadan.
Tinjauan Bernama mendapati sebahagian penjual di Pasar Tamu Serian memakai pelitup muka ketika menjalankan urusan jual beli sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan kualiti udara kurang baik.
Penjual sayur, Asmail Kipli, 62, berkata beliau masih meneruskan aktivitı jualan seperti biasa kerana perlu membayar sewa tapak walaupun jumlah pelanggan menunjukkan penurunan sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Buat masa ini, keadaan jerebu masih belum begitu merunsingkan saya untuk berniaga, cuma memang ada pengurangan pelanggan dan pendapatan kira-kira 30 peratus,” katanya.
Asmail yang berasal dari Gedong di sini berkata bagaimanapun, beliau akan mengurangkan aktiviti luar yang lain bagi mengelakkan terlalu lama terdedah kepada keadaan berjerebu.
Beliau berkata barangan jualan kurang mendapat sambutan memandangkan orang ramai dilihat lebih berhati-hati untuk keluar dari rumah dan memilih mengehadkan aktiviti luar sekiranya tidak mempunyai urusan penting.
Penjual buah, Marina Latong, 53, pula berkata keadaan berjerebu dijangka terus menjejaskan kalangan peniaga sekiranya kualiti udara tidak bertambah baik dalam tempoh terdekat.
“Sekarang pun saya berjual dari pagi sampai pukul 3 petang sahaja memandangkan cuaca kurang baik. Kalau berterusan begini memang akan tutup dulu sementara tunggu keadaan bertambah jerebu baik,” katanya.
Selain itu, tinjauan juga mendapati penduduk kampung berhampiran pasar masih keluar menjalankan urusan masing-masing, termasuk membeli barangan keperluan harian.
Dalam pada itu, sebanyak 107 sekolah di Serian ditutup sementara bermula hari ini sehingga Jumaat susulan keadaan jerebu.
-- BERNAMA
