PROJEK JAMBATAN NANGA GAAT PACU PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR PEDALAMAN BALEH
KAPIT, 15 Jan (Bernama) -- Projek Jambatan di Nanga Gaat serta Jalan Akses ke Rumah Tungku, Sebiro, Sungai Gaat (Fasa 1: Seksyen 1) adalah antara inisiatif penting kerajaan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman Baleh.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak berkata kawasan Baleh dan Sungai Gaat tidak pernah diketepikan dalam agenda pembangunan malah setiap perancangan serta pelaksanaan projek sentiasa dipantau rapi bagi memastikan manfaat sebenar dapat dinikmati rakyat di kawasan pedalaman.
"Projek ini dijangka menjadi pemangkin utama atau game changer kepada penduduk Sungai Gaat, khususnya dalam memudahkan pergerakan harian, merancakkan ekonomi setempat serta menyediakan kemudahan infrastruktur asas lebih baik,” katanya menerusi hantaran Faccebooknya.
Semalam, Ahli Parlimen Hulu Rajang itu mengadakan lawatan tapak serta menghadiri mesyuarat projek berkenaan melibatkan jajaran dari Rumah Nyamok ke Puro, yang dilaksanakan melalui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).
Wilson berkata pembinaan jambatan dan jalan akses itu juga akan mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap pengangkutan sungai dan jalan tanah yang sebelum ini menjadi laluan utama perhubungan.
Beliau berkata pembinaan jalan masuk ke semua rumah panjang adalah penting supaya pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh dan inklusif oleh penduduk setempat.
-- BERNAMA
