TIKET PENERBANGAN AIRBORNEO SARAWAK MULA DIJUAL ESOK

Credit: Facebook AirBorneo
09/12/2025 05:05 PM

KUCHING, 9 Dis (Bernama) -- Syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak, AirBorneo secara rasmi akan melancarkan laman sesawang serta pusat panggilan esok yang menandakan permulaan jualan tiket susulan langkah pengambilalihannya ke atas MASwings pada akhir Disember ini.

Menerusi kenyataannya hari ini, AirBorneo menyifatkan pelancaran pada 10 Disember itu sebagai pencapaian penting dalam peralihan operasi menjelang pengambilalihan sepenuhnya MASwings. 

Sehubungan itu, pengembara yang membeli tiket baharu bagi tempoh perjalanan sebelum 13 Januari 2026, dinasihatkan untuk meneruskan pembelian tiket menerusi laman sesawang MASwings manakala tiket bagi perjalanan selepas 14 Januari, perlu dibeli menerusi laman sesawang rasmi atau pusat panggilan AirBorneo.

“Pelanggan juga boleh menghubungi pusat panggilan syarikat penerbangan itu di talian 1-300-22-1388 bagi pemanggil tempatan atau (+60) 82-537 555 untuk pemanggil antarabangsa.

“Kesemua tiket serta tempahan sedia ada MASwings kekal sah tanpa sebarang perubahan terhadap tarikh dan tempoh penerbangan,” katanya.

Menurut syarikat itu, penumpang yang memegang tiket MASwings bagi perjalanan pada atau selepas 14 Jan 2026 akan menerima notifikasi individu mengenai pengeluaran semula tiket mereka di bawah AirBorneo.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.airborneo.com mulai esok atau menghubungi pasukan perkhidmatan pelanggan menerusi nombor talian hotline bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Pada 12 Februari 2025, kerajaan Sarawak telah memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group bagi pemuktamadan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd, sekali gus membuka jalan bagi mewujudkan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan rasmi negeri itu.

-- BERNAMA