20 RAMD ADAKAN LATIHAN KETENTERAAN DI SUNGAI NAKAT BERMULA 20 OGOS
MIRI, 15 Ogos (Bernama) -- Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri akan mengadakan tiga latihan ketenteraan besar secara berperingkat di kawasan Sungai Nakat, Bakong dekat sini sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan anggotanya.
Dalam kenyataan hari ini, 20 RAMD memaklumkan latihan pertama iaitu Eksesais Pasak Bumi (EPB) Siri 2/2025 akan berlangsung dari 26 Ogos hingga 2 Sept ini dengan penyertaan 170 pegawai dan anggota.
Menurut kenyataan itu, latihan berkonsepkan Peperangan Melawan Insurgensi (PMI) itu melibatkan pergerakan pandu arah taktikal sejauh 40 kilometer selama 10 hari, selain aktiviti mendirikan pengkalan, pengendalian komunikasi, tindakan serta-merta, serang hendap dan serangan ke atas khemah musuh.
Latihan kedua, Eksesais MALBRU SETIA Siri 17/2025, akan diadakan bersama Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dari 11 hingga 16 Sept diikuti Eksesais Mertak Bersatu Siri 15/2025 di Kota Belud, Sabah.
Latihan ini juga berkonsepkan peperangan insurgensi dengan penglibatan 300 pegawai dan anggota bagi tempoh enam hari.
“Ketiga-tiga latihan ini bertujuan menguji daya kepimpinan dan kawalan ketua kumpulan, mempertingkat kemahiran, disiplin, kerjasama, setiakawan serta kecergasan mental dan fizikal anggota di samping ujian kesiapsiagaan dan kecekapan pasukan dalam menghadapi ancaman sebenar,” menurut kenyataan itu.
Penduduk di sekitar Sungai Nakat, Bakong diharap memberikan kerjasama sepanjang latihan berkenaan berlangsung dan sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Pegawai Gerak 20 RAMD Mejar Muhammad Yunos di talian 012-411 4122.
-- BERNAMA
