PARA SUKMA 2024: FUAD UCAP SELAMAT TINGGAL PADA DUNIA POWERLIFTING
KUCHING, 27 Sept (Bernama) -- Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menjadi pentas terakhir buat atlet powerlifting Sarawak Mohamad Fuad Alen, 45, yang memilih untuk bersara setelah tiga dekad berkecimpung dalam pelbagai acara sukan termasuk renang dan olahraga.
Anak jati Kampung Paya Mebi, Kuching itu hari ini berjaya memenuhi impian untuk menjadikan penampilan terakhirnya penuh makna apabila meraih dua emas bagi kategori bawah 59 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaik 108kg dan jumlah keseluruhan angkatan 313kg selepas mengangkat 100kg, 105kg dan 108kg.
“Memang saya gembira dapat emas tetapi sejujurnya perasaan sedih dan sebak itu lebih kuat kerana ini hari terakhir saya menyertai pertandingan powerlifting atas faktor usia.
“Ini masanya saya ucap selamat tinggal untuk beri peluang kepada atlet pelapis meskipun ada pengurus pasukan menawarkan saya jadi pembantunya, tapi saya tolak sebab nak fokus kepada pekerjaan saya di Majlis Perbandaran Padawan,” katanya.
Terdahulu, atlet berkenaan menumpaskan Muhammad Ali Saifuddin Ghazali dari Pahang yang meraih perak dengan angkatan terbaik 102kg serta jumlah keseluruhan angkatan 196kg manakala Muhammad Bukhari Md Zan dari Johor mendapat gangsa (100kg, 188kg).
Fuad berkata keputusan untuk bersara tidak bermakna beliau akan berhenti daripada melaungkan sorakan buat pasukan Sarawak di pentas Para SUKMA seterusnya.
Beliau berkata sepanjang 30 tahun menyertai pertandingan iaitu seawal usia 15 tahun, sukan powerlifting menjadi penyumbang terbesar kepada koleksi pingat yang dimenanginya.
“Saya juga tidak akan melupakan pembabitan dalam sukan renang kerana ia antara sukan pertama saya walaupun pingat yang dimenangi tidak banyak...bila powerlifting mula diperkenalkan saya ‘tukar angin’ dan kekal hingga sekarang.
“Terima kasih buat mak dan ayah saya di kampung, juga kepada pasukan, jurulatih dan seluruh rakyat Sarawak yang sentiasa doakan dan menyokong saya,” katanya yang turut mendapat sokongan daripada majikannya.
Kemenangan Fuad hari ini turut menyumbang kepada emas terakhir tuan rumah bagi sukan powerlifting dengan Bumi Kenyalang secara keseluruhan menyapu 14 emas, satu perak dan tiga gangsa dalam acara itu.
-- BERNAMA
