MISI PERBAIKI PENCAPAIAN EDISI LEPAS, SELANGOR SASAR 15 PINGAT EMAS

22/09/2024 01:07 PM

KUCHING, 22 Sept (Bernama) -- Skuad renang Selangor mahu memperbaiki pencapaian di Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) edisi lepas di ibu kota yang menyaksikan pasukan itu memperoleh 14 pingat emas dalam sukan renang. 

Pengurus pasukan renang Selangor Intan Diana Mohd Baki berkata bagi edisi di Bumi Kenyalang ini, skuadnya disasarkan untuk membawa pulang 15 pingat emas selepas membariskan 11 muka baharu daripada 16 atlet yang akan membawa cabaran di temasya sukan dwitahunan itu. 

“Tapi sesi klasifikasi hari ini terdapat beberapa perubahan bagi kategori atlet kami yang akan bertanding dan melihat kepada pencabar, saya yakin mereka masih boleh bawa pulang pingat emas itu.

“Yang penting mereka buat prestasi peribadi terbaik dan saya tidak mahu mereka tertekan, persediaan pun sudah dibuat sehabis baik, kita dah buat kem dan latihan intensif serta ada program khas,” katanya kepada Bernama pada sesi klasifikasi atlet para renang di Pusat Akuatik Pandalela Rinong di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Intan berkata terdapat empat acara tidak dipertandingkan yang disifatkan ‘merugikan’ pasukan renang Selangor kerana ia merupakan acara lubuk pingat emas buat negeri itu. 

Beliau berkata apatah lagi Sarawak yang dijangka menurunkan ramai atlet beraksi di laman mereka sendiri turut bakal menyukarkan pasukannya untuk menggapai misi di temasya sukan berprestij itu. 

-- BERNAMA