PERTARUHAN BERANI RUHAIZAL BUTIRKAN EMAS PETANQUE JOHOR

24/08/2024 04:11 PM

Oleh Muhammad Ammar Shafiq Hamzah

KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Pertaruhan berani jurulatih Johor, Ruhaizal Abu Amin membariskan lima pemain muda bersama-sama dua berpengalaman membuahkan hasil apabila membawa pulang pingat emas acara petanque berpasukan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Pada aksi di Gelanggang Petanque Negeri Sarawak, skuad Johor menewaskan Pahang 2-1 manakala Kedah memenangi gangsa mengatasi Perlis 2-1.

Ruhaizal berkata beliau gembira dengan pencapaian pasukannya walaupun berdepan dengan tekanan pada hari terakhir SUKMA 2024.

“Memang ada tekanan untuk tambah emas buat Johor pada saat akhir, namun kita lihat mereka (skuad wanita Johor) berjaya bekerjasama untuk meraih emas dengan persembahan baik,” katanya

Dalam pada itu, Perak mengatasi Kelantan dalam acara berpasukan lelaki dengan mata 2-1.

Gangsa dimenangi Terengganu yang menewaskan Pahang 3-0.

Petanque menawarkan 13 pingat emas pada temasya kali ini.

-- BERNAMA