SELANGOR ‘SPIKE’ EMAS DI GELANGGANG BOLA TAMPAR
SIBU, 23 Ogos (Bernama) -- Pasukan bola tampar lelaki Selangor meraih pingat emas selepas menumpaskan Wilayah Persekutuan 3-0 pada aksi final yang berlangsung di Dewan Bola Tampar Rejang Park, di sini hari ini.
Selangor yang dibimbing Shamsaimon Mohd Sarit mencatat kemenangan mudah 25-14 pada set pertama untuk mendahului 1-0.
Bermula set kedua, Wilayah Persekutuan yang dibimbing Ong Chun Keong memberi tentangan hebat namun belum cukup untuk menumbangkan Selangor yang melakar kemenangan 25-22.
Set ketiga berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan berselang-seli mengutip mata namun prestasi Selangor lebih konsisten untuk mencatat kemenangan 25-17 sekali gus meranapkan impian Wilayah Persekutuan untuk meraih emas dan berpuas hati dengan pingat perak.
Pingat gangsa dimenangi pasukan Sarawak yang juga juara bertahan menewaskan Johor 3-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, semalam.
-- BERNAMA
