SARAWAK CEMERLANG RAIH EMAS KELIMA PETANQUE

Credit: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
22/08/2024 05:22 PM

KUCHING, 20 Ogos (Bernama) -- Kem petanque Sarawak terus cemerlang apabila menambah koleksi emas kelima mereka selepas mengungguli acara triples lelaki hari ini.

Pada aksi di Gelanggang Petanque Negeri Sarawak, trio tuan rumah dibarisi Abdul Harith Oris, Aniq Ashraf Mohamad Hafizul dan Farid Amirul Muhamad mengatasi Mohamad Zulhaizzad Mohd Zin, Muhamad Atiq Daneal Azizi Aswariza dan Wan Mohamad Farihin Wan Rosli dengan kemenangan 10-5.

Gangsa dimenangi pasukan Johor yang menewaskan Melaka 7-3 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Credit: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Dalam pada itu hasrat Sarawak untuk meraih emas berganda hari ini tidak kesampaian apabila tewas kepada Sabah dalam acara triples campuran.

Sabah yang diwakili Maxivianna Robert, Muhammad Aeqhmal Mohammad Ardhy dan Siti Nur Vivianah Chia menang tipis 10-7 ke atas trio Sarawak, Ain Afzan Aisyah Ezlan, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom, Nur Durratul Shaira Yazit.

Tempat ketiga dimenangi Johor yang menewaskan Negeri Sembilan 13-7.

Sementara itu, Sabah turut meraih satu lagi emas menerusi acara triples wanita terdiri daripada Marysa Apple@Denny, Siti Noor Ellyshatul Balq Suhaimi dan Thadis Henhera Vennice yang menewaskan pasukan Johor 11-4.

Gangsa dimenangi trio Negeri Sembilan yang menang tipis 10-9 ke atas wakil Perak.

Pulau Pinang pula meraih emas pertama mereka dalam sukan petanque apabila memenangi final acara triples campuran.

Pulau Pinang yang diwakili Muhammad Aidil Zakri Junaidi, Muhamad Safwan Alif Abdullah dan Nur Erissya Najwa Mohd Helmey menang mudah ke atas trio Pahang 13-5.

Gangsa acara itu dimenangi Negeri Sembilan yang mengatasi Selangor dengan keputusan 9-6.

-- BERNAMA