TUAH STATUS BUKAN PILIHAN, NUR IRDINA TENANG SAMBAR EMAS LAWAN PEDANG
MIRI, 21 Ogos (Bernama) -- Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tau. Itu peribahasa paling tepat menggambarkan kejayaan atlet lawan pedang Nur Irdina Amani Imran selepas muncul juara sabre wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.
Hadir dengan status bukan pilihan, wakil Wilayah Persekutuan berusia 14 tahun itu tidak menyangka mampu membawa pulang pingat emas kerana awalnya sekadar meramal mampu meraih gangsa pada penampilan keduanya di temasya dwitahunan kebangsaan itu.
“Ikutkan saya hanya sasar gangsa sahaja sebab banyak lagi pesaing yang hebat jadi mungkin emas itu susah nak dapat.
“Namun berbekalkan motivasi tinggi saya berjaya meraih emas pertama selepas tidak berjaya membawa pulang apa-apa dalam penampilan pertamanya pada edisi 2022,” katanya kepada Bernama.
Pelajar Kolej Yayasan Saad Melaka itu menewaskan rakan sepasukannya S. Resha Shaveena, manakala gangsa milik Renee Chan Wan Qing dari Johor.
“Sepanjang pertemuan dengan dia (Resha) memang saya tak pernah menang dan susah untuk dapat mata lebih daripada lima. Tapi hari ini saya berjaya tewaskan dia tapi ia satu perlawanan cukup sengit,” katanya.
Terdahulu, pada aksi di Eastwood Valley Golf Club di sini, Nur Irdina yang ketinggalan 6-10, bangkit menidakkan kemenangan Resha dengan keputusan 15-14 untuk pingat emas.
-- BERNAMA
