SELANGOR, W.PERSEKUTUAN BUAT PERHITUNGAN DI FINAL BADMINTON BERPASUKAN CAMPURAN
SIBU, 19 Ogos (Bernama) -- Skuad badminton Selangor dan Wilayah Persekutuan akan membuat perhitungan terakhir dalam pentas final berpasukan campuran setelah menewaskan lawan masing-masing di saingan separuh akhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu hari ini.
Pasukan Wilayah Persekutuan mudah menewaskan Pulau Pinang 3-0 hasil kemenangan perseorangan wanita menerusi Ong Xin Yee yang menundukkan wakil Pulau Mutiara Oo Shan Zi dengan 21-12, 21-12.
Bintang muda perseorangan lelaki negara yang mewakili Wilayah Persekutuan Justin Hoh Shou Wei juga tidak menghadapi masalah untuk menewaskan pemain perseorangan Pulau Pinang Sng Wei Ming dengan kiraan mata 21-15, 21-16 sementara beregu campuran Low Han Chen/Odelia Wong memastikan Wilayah Persekutuan ke final setelah menumpaskan Ong Zhen Yi/Tan Zhing Yi dengan 21-9, 21-18.
“Dalam perlawanan tadi, kami kekal fokus dan tenang serta tidak terburu-buru. Permainan agak sengit, jadi kami cuba untuk tidak melakukan kesilapan mudah dan akhirnya berjaya memenangi perlawanan,” kata Odelia kepada pemberita.
Sementara itu, Sarawak gagal memanfaatkan beraksi di hadapan penyokong sendiri apabila tewas 0-3 kepada Selangor untuk hanya layak beraksi merebut pingat gangsa dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat dengan Pulau Pinang esok.
Mata pertama Selangor disumbang oleh bintang muda perseorangan wanita negara K.Letshanaa yang mudah menumpaskan Megan Tan Zhi Yi 21-3, 21-13.
Perseorangan lelaki Selangor Chua Kim Sheng berhempas pulas sebelum berjaya menewaskan wakil Sarawak Goh Shun Huat 20-22, 21-14, 21-15 sebelum beregu campuran Selangor Wong Vin Sean/Ho Lo Ee menyumbang mata kemenangan setelah menundukkan Jeremy Zhen Liang/Kashley Kho Tze Yin 21-13, 21-12.
“Perlawanan perseoranganan wanita tadi bukan tahap sebenar… saya hanya cuba untuk ambil momentum dan rentak sebelum perlawanan akhir esok. Bagaimanapun dalam set kedua tadi, banyak juga kesilapan yang saya lakukan. Apa pun secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi hari ini,” kata Letshanaa.
-- BERNAMA
