MARATON SAMARAHAN PERLU DIJADIKAN ACARA TAHUNAN - ABDUL KARIM

12/05/2024 10:44 PM

KOTA SAMARAHAN, 12 Mei (Bernama) -- Maraton Samarahan perlu dijadikan sebagai satu lagi acara  tahunan memandangkan acara ini mampu menarik pelari dari pelbagai negara, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata pihak penganjur disarankan untuk membuat permohonan kepada Association of International Marathon (AIM) supaya acara larian itu dapat dijadikan acara tahunan yang wajib dianjurkan.

"Pada masa kini, Sarawak sudah ada dua  acara maraton yang dikenali Maraton Kuching dan Maraton Miri. Saya rasa (Maraton Samarahan) boleh diterima kerana penganjurannya cukup teratur dan mendapat sambutan para peminat larian jauh," katanya selepas penyampaian hadiah kepada pemenang di sini hari ini.

Abdul Karim berkata jika acara Maraton Samarahan diiktiraf AIM, pihak kementerian boleh membantu dari segi kewangan serta penganjurannya.

Sementara itu, menurut kenyataan pihak penganjur Hock Seng Lee (HSL) Berhad, Maraton Samarahan berjaya menarik lebih 2,000 peserta dari pelbagai negara seperti Singapura, Brunei dan Afrika.

Antara acara dipertandingkan termasuk larian sejauh 10 kilometer (km), 21km dan 42km yang menyaksikan pelari Kenya Lukas Muteti muncul juara kategori lelaki, manakala Dorcas Tarus pemenang kategori wanita.

-- BERNAMA