DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK BERSIDANG SELAMA 8 HARI BERMULA 6 MEI

04/05/2024 09:51 PM

KUCHING, 4 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Pertama Sesi Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19 akan berlangsung selama lapan hari dari 6 hingga 15 Mei ini.

Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan merasmikan mesyuarat itu pada 6 Mei.

Beliau berkata lima rang undang-undang akan dibentang iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2023), Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024), Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak, Rang Undang-Undang Perlindungan Kesihatan Awam (Pindaan) dan Rang Undang-Undang Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan).

“Kedua-dua rang undang-undang perbekalan tambahan dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak akan dibentang oleh Timbalan Premier serta Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pula akan membentangkan Rang Undang-Undang Perlindungan Kesihatan Awam (Pindaan),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamad Asfia juga berkata Rang Undang-Undang Perbadanan Perhutanan Sarawak pula akan dibentang oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata sejumlah 352 soalan akan dibangkitkan pada persidangan itu dengan 267 daripadanya akan dijawab secara lisan manakala 85 lagi secara bertulis.

-- BERNAMA