LETUSAN GUNUNG RUANG: KUALITI UDARA DI SARAWAK TIDAK TERJEJAS

Photo: Reuters/ Chermanto Tjaomba
19/04/2024 08:56 PM

KUCHING, 19 April (Bernama) -- Letusan Gunung Ruang di Indonesia tidak menjejaskan kualiti udara di Sarawak.

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak berkata pihaknya sedang memantau rapat perkembangan terkini situasi itu melalui lima Stesen Pemantauan Kualiti Udara (AQMS) di Lundu, Tebedu, Lubok Antu, Bario dan Lawas.

“Berdasarkan bacaan yang diperoleh daripada AQMS sejak 17 April lepas menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada dalam kategori sihat (0-50) hingga sederhana (51-100).

“Selain itu, bacaan IPU Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menunjukkan IPU di kebanyakan kawasan di Sarawak berada dalam kategori sihat hingga sederhana dan tiada bacaan tidak sihat direkodkan,” menurut NREB dalam satu kenyataan hari ini.

Cuaca panas yang dialami di kebanyakan kawasan di Sarawak ketika ini berpunca daripada permulaan fasa peralihan monsun dan fenomena El Nino.

Menurut kenyataan itu, ketika fenomena El Nino Malaysia serta kawasan lain di Asia Tenggara cenderung mengalami kemarau yang berpanjangan.

“Berdasarkan laporan pemantauan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), keadaan El Nino dijangka berlarutan hingga Jun 2024. Justeru, letusan gunung berapi Gunung Ruang tidak menyumbang kepada cuaca panas yang sedang melanda ketika ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA