MAXIM BERI PERKHIDMATAN PERCUMA KEPADA ORANG BUTA 

08/04/2024 05:51 PM

KUCHING, 8 April (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan e-panggilan Maxim Malaysia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak (SSB) bagi perkhidmatan pengangkutan secara percuma.

MoU tersebut ditandatangani Pengarah Maxim Malaysia Mohd Hazwan Musley dan Pengerusi SSB Ronald Thomas Ronny Law dalam satu majlis di sini hari ini.

Mohd Hazwan berkata menerusi MoU itu pihak Maxim akan menyediakan tiga akaun kepada SSB untuk membuat tempahan dalam aplikasi ke mana-mana destinasi di Sarawak secara percuma untuk tempoh satu tahun.

Beliau berkata promo kod bernilai RM50 juga akan diberikan kepada semua 1,800 ahli SSB serta potongan harga bagi setiap perjalanan mereka.

“Bantuan ini sangat bermakna kerana kami dapat berkongsi rezeki dengan mereka. Kami juga berharap pihak SSB dapat memanfaatkan kemudahan yang diberikan ini dengan baik,” katanya semasa berucap di majlis tersebut. 

-- BERNAMA