TOURISM MALAYSIA LANCAR PAKEJ PELANCONGAN SARAWAK DELTA GEOPARK DAN GAWAI 2024

02/04/2024 11:00 PM

KUCHING, 2 April (Bernama) -- Tourism Malaysia hari ini melancarkan pakej pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024 bagi mempromosikan keunikan produk pelancongan geopark serta sambutan Hari Gawai di Sarawak kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Sebanyak 37 pakej pelancongan dibangunkan dengan kerjasama 13 operator pelancongan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang antara lain menawarkan lawatan ke tapak biologi dan tapak budaya di sekitar Kuching, Bau serta Padawan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Mohd Roslan Abdullah berkata antara pakej ditawarkan adalah pakej Geological, Heritage & Exploration @ Sarawak Delta Geopark, Gawai Open House at Matop Longhouse, Babulang Festival in Limbang serta Irau Aco Lun Bawang Festival

“Pembangunan pakej tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan pilihan destinasi pelancongan seiring dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran pakej berkenaan di sini hari ini.

Kesemua pakej pelancongan berkenaan telah dimuatkan dalam risalah yang boleh dimuat turun di laman sesawang Tourism Malaysia www.malaysia.travel.

-- BERNAMA