POLIS TAHAN LELAKI, RAMPAS ROKOK DAN ARAK TANPA CUKAI

Credit: Miri Police
31/03/2024 05:42 PM

KUCHING, 31 Mac (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 menahan seorang lelaki dan merampas sejumlah rokok serta arak pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dalam Op Taring Kontraban di Miri, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata lelaki berusia 26 tahun yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda itu ditahan pada 11 pagi di tepi jalan semasa dalam perjalanan dari Jalan Limbang Utara menuju ke Taman Tunku Miri.

"Pemeriksaan pada bahagian belakang kenderaan terbabit menemukan pelbagai jenis rokok dan minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai.

"Setelah disoal siasat, lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata kesemua barangan dan kenderaan dirampas yang dianggar bernilai RM142,000 itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA