KPJ KUCHING LAKAR SEJARAH LAKUKAN 205 PEMBEDAHAN LUTUT SECARA ROBOTIK

28/03/2024 09:29 PM

KUCHING, 28 Mac (Bernama) -- Hospital Pakar KPJ Kuching melakar sejarah tersendiri dengan menyempurnakan pembedahan penggantian sendi lutut ke-205 secara robotik menggunakan sistem teknologi pembantu pembedahan robotik (ROSA).

KPJ Healthcare dalam kenyataan memaklumkan dengan menggunakan teknologi ROSA, ia membantu mempercepatkan masa pemulihan sekali gus meningkatkan kadar kesembuhan pesakit.

"Sejak teknologi ini digunakan pada Ogos tahun lepas hingga Februari tahun ini, bilangan pembedahan penggantian sendi lutut telah mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 28.7 peratus berbanding tempoh masa sama, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 358 prosedur.

"Integrasi teknologi ROSA bukan sahaja dapat meningkatkan ketepatan dalam pembedahan malah meningkatkan pengalaman pemulihan bagi para pesakit sekali gus memberikan keyakinan serta kepuasan yang tinggi dalam kalangan mereka," katanya.

Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan adalah bukti hospital pakar KPJ berdedikasi dalam melaksanakan sistem perubatan berteknologi tinggi dan memberikan penjagaan kesihatan yang mengutamakan pesakit.

"Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan komitmen KPJ Healthcare dalam mengadaptasikan penggunaan teknologi inovatif yang mampu meningkatkan kadar kesembuhan pesakit dan kecekapan operasi dalam rangkaian hospitalnya, bahkan berjaya menempa sejarah penting dalam sektor penjagaan kesihatan di Kepulauan Borneo," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA