JKDM PATAHKAN CUBAAN SELUDUP DADAH DI LAPANGAN TERBANG SIBU

Credit: Royal Malaysian Customs Department (JKDM), Sarawak
22/03/2024 06:27 PM

SIBU, 22 Mac (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan dua cubaan menyeludup dadah jenis Methamphetamine berjumlah 26.52 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM875,160 ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Sibu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Norizan Yahya berkata seorang lelaki warga tempatan dalam lingkungan usia 20-an ditahan pada 11.55 pagi 13 Mac lepas, sejurus tiba di lapangan terbang itu setelah imej imbasan ke atas kotak yang dibawanya menunjukkan tanda positif bahan narkotik.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kotak berkenaan membawa kepada penemuan sejumlah 13 bungkusan yang mengandungi serbuk kristal disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 13.26 kg dengan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM437,580,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lelaki yang disyaki keldai dadah itu telah ditahan reman selama enam hari bermula 14 Mac bagi membantu siasatan.

Pada 14 Mac pula, JKDM Sibu menyita sebuah kotak yang tidak dituntut di Lapangan Terbang Sibu pada 12 tengah hari dan pemeriksaan awal oleh UPP Lapangan Terbang Sibu mendapati kotak yang ditinggalkan itu menunjukkan tanda positif bahan narkotik.

Pemeriksaan rapi oleh pasukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Sibu selepas itu menemukan sejumlah 13 bungkusan disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine dengan berat kasar 13.26 kg dan nilai pasaran dianggarkan bernilai RM437,580.

Norizan berkata usaha untuk mengesan individu yang meninggalkan kotak berkenaan sedang giat dijalankan.

Menurut beliau, modus operandi kes berkenaan membawa masuk bahan narkotik dari Semenanjung ke Sarawak secara transit  dengan meletakkannya di dalam kotak bersama makanan ringan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 kali sebatan.

Tambah beliau, sepanjang tempoh di antara Januari dan 19 Mac tahun ini, sebanyak 41.95 kg dadah jenis Methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM1,384,350.00 berjaya dirampas di Lapangan Terbang Sibu.

-- BERNAMA