KADAR ELEKTRIFIKASI SARAWAK CAPAI 99.4 PERATUS SETAKAT HUJUNG 2023

Sarawak Energy Berhad
21/03/2024 09:47 PM

KUCHING, 21 Mac (Bernama) -- Kadar elektrifikasi domestik keseluruhan Sarawak meningkat kepada 99.4 peratus setakat penghujung tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Sharbini Suhaili berkata liputan bekalan elektrik buat masyarakat luar bandar termasuk penduduk di kawasan terpencil pula telah mencapai 98.4 peratus.

Beliau berkata kejayaan itu merupakan hasil daripada usaha dan sokongan berterusan kerajaan Sarawak dan seluruh rakyat Sarawak secara amnya.

“SEB kini telah berkembang menjadi sebuah syarikat utiliti tenaga bersepadu dan penjana sumber tenaga diperbaharui terbesar di Malaysia,” katanya semasa berucap di majlis berbuka puasa anjuran SEB di sini, hari ini. 

Sharbini juga berharap orang awam dapat melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan di mana-mana kemudahan fasiliti elektrik SEB.

-- BERNAMA