MTPN SARAWAK MAHU UNDANG-UNDANG TERUS DIKEMAS KINI LINDUNGI HAK PENGGUNA DUNIA MAYA

National Consumer Action Council (MTPN) Sarawak chapter chairman Wynson Ong Teck Ping Kredit: FB Majlis Tindakan Pengguna Negara - Sarawak
15/03/2024 12:07 AM

KUCHING, 14 Mac (Bernama) -- Kerajaan perlu meneliti serta mengemas kini undang-undang berkaitan hak pengguna khususnya bagi melindungi pengguna daripada ancaman dalam dunia maya. 

Pengerusi Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sarawak Wynson Ong Teck Ping berkata isu penipuan dalam talian, perlindungan data peribadi dan akses yang adil kepada perkhidmatan digital menjadi antara aspek yang perlu dititikberatkan pada masa ini. 

“Satu daripada cabaran utama dalam era digital ini adalah pemahaman dan perlindungan hak-hak pengguna dalam persekitaran digital.

“Namun begitu, kesedaran dan perlindungan hak-hak pengguna tidak hanya bergantung kepada tindakan kerajaan dan syarikat, tetapi juga kepada penglibatan aktif individu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata pihak syarikat juga perlu mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, menyediakan maklumat yang jelas dan tepat kepada pengguna serta memberikan akses yang saksama kepada perkhidmatan digital.

Bersempena Hari Hak-Hak Pengguna yang disambut setiap 15 Mac, Ong mengajak orang ramai untuk mengambil komitmen sebagai pengguna yang bijak, bertanggungjawab dan proaktif dalam memperjuangkan hak masing-masing. 

Menurut Ong, MTPN berperanan sebagai ‘suara’ rakyat Malaysia dalam memastikan hak-hak pengguna dipelihara dan diperjuangkan menerusi pelbagai inisiatif termasuk kempen kesedaran, ceramah kepenggunaan serta kerjasama dengan pihak kerajaan mahupun swasta. 

“MTPN mempunyai pelbagai saluran komunikasi termasuk talian telefon, e-mel, borang dalam talian atau aplikasi mudah alih.

“Pastikan anda simpan salinan atau pengesahan aduan untuk rujukan masa depan. Selepas menghantar aduan, tunggu maklum balas daripada MTPN. Biasanya, mereka akan menyiasat aduan anda dan memberikan respons atau tindakan yang sesuai,” katanya.

MTPN, katanya bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan perlindungan hak-hak pengguna melalui pelbagai inisiatif termasuk kempen kesedaran, ceramah kepenggunaan, ceramah anti-scam, kerjasama dengan pihak kerajaan dan swasta yang berkepentingan dan lain-lain program.

Sebarang aduan, pertanyaan atau sekiranya menghadapi masalah penipuan sila hubungi talian 017-7109299. 

-- BERNAMA