SARAWAK SEDIAKAN 1,500 HEKTAR BAGI PENGELUARAN BERAS - ABANG JOHARI

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
10/03/2024 09:37 PM

KUCHING, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak akan menyediakan tanah seluas 1,500 hektar bagi memberi tumpuan dalam pengeluaran beras agar keselamatan makanan di Malaysia terjamin.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek penanaman padi akan dilakukan secara berperingkat menggunakan peruntukan daripada kerajaan pusat yang berjumlah RM173 juta.

“Saya anggarkan jumlah itu mungkin tidak mencukupi jadi kita juga akan tambah peruntukan dalam projek ini yang memerlukan sistem pengairan kerana kosnya agak tinggi.

“Kerajaan Negeri Sarawak juga memberi peruntukan secara beransur-ansur bagi pojek penanaman padi di kawasan selatan termasuk Simunjan, Gedong dan Sri Aman manakala kawasan utara termasuk Limbang dan Lawas, masing-masing 10 hektar setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek Jelapang Padi di Stumbin, Sri Aman hari ini.

Abang Johari berkata kaedah penanaman padi di Sarawak akan mengguna pakai model projek di Kampung Lubok Punggor yang menggunakan teknologi baharu dan jenis benih hibrid.

“Kita telah membuat kajian bersama Universiti Putra Malaysia yang mendapati satu hektar boleh ditanam lima musim dalam tempoh 24 bulan dan hasilnya ialah lapan tan,” katanya sambil menambah usaha itu akan membolehkan Sarawak meningkatkan pengeluaran beras negara sebanyak 100 peratus menjelang 2030.

-- BERNAMA