OPS KESAN: LEBIH 14,000 PREMIS DIPERIKSA DI SARAWAK

08/03/2024 08:58 PM

KUCHING, 8 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak telah melakukan pemeriksaan ke atas 14,035 premis dalam Ops Kesan 2024, yang bermula sejak 1 Mac.

KPDN Sarawak menerusi kenyataan memaklumkan dalam tempoh seminggu operasi, sejumlah 25 Notis Pengesahan Maklumat Barangan dikeluarkan kepada pihak premis terlibat, di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan (AKHAP) 2011.

“Setakat ini, pihak KPDN Sarawak belum menerima sebarang aduan daripada pengguna berkaitan premis yang menaikkan harga secara tidak wajar di negeri ini, berikutan pelaksanaan kadar baharu cukai SST,” menurut kenyataan itu. 

Ops Kesan 2024 bertujuan memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus.

Menurut kenyataan itu orang ramai dialu-alukan mengemukakan aduan dan berkongsi maklumat berkaitan tindakan premis perniagaan menaikan harga secara tidak wajar, serta mengambil kesempatan dengan peralihan kadar SST bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

-- BERNAMA