PERBINCANGAN SELARASKAN ORDINAN BURUH SARAWAK DI PERINGKAT AKHIR - STEVEN SIM 

20/02/2024 04:25 PM

KUCHING, 20 Feb (Bernama) -- Perbincangan untuk menyelaraskan Ordinan Buruh Sarawak dengan Akta Kerja 1955 kini di peringkat akhir, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala mengenai perkara tersebut minggu lepas.

“Penyeragaman ini adalah untuk memastikan hak pekerja di Malaysia sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak dapat disamakan.

“Kami telah memberikan pandangan dan cadangan dalam perjumpaan (dengan Gerawat) tersebut. Kami difahamkan, perkara ini juga akan dibawa untuk dibincangkan dengan Kabinet Negeri Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Kesuma MADANI sempena Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata penyelarasan melalui pindaan Ordinan Buruh Sarawak itu akan membolehkan pekerja tempatan di Sarawak menikmati hak dan manfaat yang sama seperti rakyat di negeri lain.

“(Penyelarasan ini juga perlu kerana) sebelum ini ada beberapa pindaan yang dibuat pada Akta Kerja yang belum lagi dimasukkan ke dalam Ordinan Buruh Sarawak seperti waktu bekerja, gaji dan sebagainya,” katanya.

Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang berkuat kuasa 1 Jan tahun lalu yang antaranya memperuntukkan masa kerja disingkatkan daripada 48 jam kepada 45 jam, cuti paterniti ditingkatkan kepada tujuh hari dan pindaan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari. 

-- BERNAMA