MANGSA BANJIR DI SARAWAK MENINGKAT KEPADA 402 ORANG

Kredit : JBPN Sarawak
17/02/2024 09:23 AM

KUCHING, 17 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sarawak mencatatkan 402 orang daripada 106 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 191 orang daripada 54 keluarga petang semalam.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di selatan negeri.

“Tiga PPS di kawasan Kuching melibatkan Dewan Kampung Sinar Budi Baru, Dewan Masyarakat Stapok dan yang terbaharu, Dewan Serbaguna Taman Malihah telah diaktifkan lewat petang semalam.

“Satu PPS di kawasan Bau iaitu Dewan Kampung Segong menempatkan sembilan mangsa,” menurut laporan itu. 

PPS Dewan Serbaguna Taman Malihah merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 182 orang, diikuti Dewan Masyarakat Stapok (151) dan Dewan Kampung Sinar Budi Baru (60).

Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca di negeri ini pada pagi dan malam diramalkan hujan di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman.

-- BERNAMA