PENIAGA WARGA EMAS RUGI LEBIH RM 130,000 TERPERDAYA PELABURAN BITCOIN

07/02/2024 06:11 PM

KUCHING, 7 Feb (Bernama) -- Seorang peniaga warga emas mengalami kerugian RM132,330 akibat terperdaya dengan pelaburan bitcoin menerusi platform dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata lelaki warga tempatan berusia 60an itu telah tertarik dengan pelaburan berkenaan selepas menerima mesej serta tawaran daripada individu dikenali JingYun Shu melalui Facebook pada Oktober tahun lepas.

Beliau berkata mangsa yang berminat telah menyertai pelaburan itu serta belajar mengenai pelaburan bitcoin daripada individu dikenali sebagai Small Strawberry secara dalam talian.

"Mangsa dijanjikan mendapat keuntungan selepas tiga hingga empat jam pendepositan wang pertama dilakukan dalam aplikasi Ddex.

"Sepanjang awal hingga penghujung November lepas, mangsa melakukan 22 transaksi wang secara dalam talian ke empat akaun bank yang berbeza-beza melibatkan jumlah keseluruhan RM132,330,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mancha berkata mangsa dimaklumkan bahawa hasil keuntungan pelaburan tersebut akan dibayar menggunakan Dolar Amerika Syarikat (USD).

"Mangsa hanya mendapat keuntungan sebanyak RM400, namun keuntungan itu telah dikreditkan ke akaun Ddex dan tidak dapat dikeluarkan kerana mangsa perlu membuat pembayaran deposit atau jaminan terlebih dahulu," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA