LEBIH 700 PELAJAR B40 PARLIMEN SANTUBONG TERIMA BANTUAN PROGRAM 'KEMBALI KE SEKOLAH'

28/01/2024 08:48 PM

KUCHING, 28 Jan -- Sejumlah lebih 700 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) di sekitar kawasan Parlimen Santubong hari ini menerima bantuan persekolahan  menerusi program 'Kembali Ke Sekolah’ di Sekolah Kebangsaan Salak,  di sini.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata program bantuan barangan kelengkapan sekolah tersebut melibatkan 21 buah sekolah terpilih di kawasan tersebut.

Menurutnya, kebanyakkan sumbangan adalah daripada Rotary Club Kuching Central, Yayasan Kebajikan Negara, Yayasan Sime Darby dan Yayasan PEKEMA.

Bantuan sumbangan tahunan oleh pihak swasta ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak masing-masing.

Nancy, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan tersebut.

Dalam perkembangan lain, katanya, menerusi projek di bawah  Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM400,000 telah diperuntukkan untuk pembinaan laluan bersimen untuk penduduk Kampung Salak yang terletak di kawasan pulau itu.

Berdasarkan pemerhatian Bernama, walaupun perlu menaiki bot kira-kira lima minit dari pangkalan Sungai Loba Plait namun kampung yang didiami majoriti nelayan itu turut mempunyai kemudahan asas seperti elektrik, bekalan air dan telekomunikasi.

-- BERNAMA