SARAWAK MAHU WUJUDKAN KURSUS BAHASA IBAN DI UNIMAS - DOUGLAS UGGAH

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
25/01/2024 12:23 PM

KUCHING, 25 Jan (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bercadang untuk mewujudkan kursus Bahasa Iban di universiti tempatan bagi memudahkan anak tempatan mempelajari bahasa itu dengan lebih mendalam.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bagi merealisasikannya, beliau akan berbincang dengan pihak Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk mendapatkan persetujuan.

“Perlu dibincangkan dengan teliti supaya ia ditubuhkan dengan teratur dan terancang.

“Saya difahamkan kursus Bahasa Iban hanya ditawarkan di Universiti Pedidikan Sultan Idris (UPSI), selain itu agak sukar untuk mencari pensyarah yang mahir sebab agak jauh,” katanya selepas majlis pelancaran kamus terjemahan Inggeris-Iban di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini, hari ini.

Dalam ucapannya di majlis itu, Uggah berkata penerbitan kamus terjemahan English-Iban itu merupakan hasil usaha pensyarah-pensyarah Jabatan Pengajian Bahasa Iban, IPG Kampus Rajang bersama Dr Lambat Lindong selaku penyelaras projek.

“Selari dengan kehebatan Malaysia yang dikenali di persada antarabangsa terbina atas kerukunan pelbagai bangsa, maka masyarakat Iban boleh menonjolkan keunikan bahasa mereka kepada masyarakat antarabangsa.

“Penerbitan kamus terjemahan ini juga membuka peluang kepada mereka yang berminat dalam penulisan yang berkaitan dengan akademik, budaya, keagamaan dan seumpamanya, kerana penulis boleh memilih perkataan-perkataan yang lebih sesuai mengikut keperluan penulisannya,” katanya.

Jelasnya, kamus terjemahan yang mengandungi 698 muka surat menyajikan pilihan perkataan yang cukup banyak untuk disesuaikan dengan bentuk penulisan mahupun penggunaannya dalam pertuturan seharian.

-- BERNAMA