‘LAMPU HIJAU’ UNTUK BINA EMPANGAN MELATA DI TIGA SUNGAI DI SARAWAK

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
14/01/2024 04:36 PM

KUCHING, 14 Jan (Bernama) -- Masyarakat di tiga lokasi sungai di negeri ini telah memberi ’lampu hijau’ kepada kerajaan Sarawak bagi pembinaan empangan melata di kawasan masing-masing melibatkan Sungai Gaat, Sungai Tutoh dan Sungai Belaga, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata penjanaan empangan itu akan dilaksanakan oleh syarikat swasta dengan laluan talian grid kabel elektrik disediakan Sarawak Energy Berhad (SEB). 

“Saya sudah ada surat (persetujuan) daripada masyarakat di ketiga-tiga sungai ini iaitu Sungai Gaat di Kapit, Sungai Tutoh di Baram dan Sungai Belaga di Belaga...kita sudah pinda undang-undang kita penjanaannya boleh dilaksanakan oleh private tapi diedarkan kepada SEB,” katanya selepas mesyuarat Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, di sini, hari ini.

Pembinaan empangan melata merupakan antara pendekatan Sarawak dalam menangani masalah populasi buaya yang kian meningkat, selain menjana elektrik bagi penduduk setempat dan menjaga biodiversiti sungai.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi memperincikan kaedah sesuai untuk rakyat negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar untuk mendaftar dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan diterajui Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Kita akan mempunyai suatu seminar yang kita akan perkenalkan proses PADU dan kita terpaksa tingkatkan kesalinghubungan bagi membolehkan data dihantar ke sistem itu,” katanya.

-- BERNAMA